12 Januari 2024 | Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia,
Ucapan YB Menteri disampaikan dengan jelas dan baik menggunakan laras bahasa tinggi yang sarat dengan pelbagai istilah kontemporari. Ia mencerminkan ketinggian KPT sebagai sebuah kementerian tempat “the brain of nation” berkumpul sekaligus mementingkan kecemerlangan dan keunggulan kerana penilaian dan pemantauan terhadap kesemua dasar negara boleh berlaku di KPT dan komponennya. Antara bait-bait yang mencuri tumpuan khalayak adalah, ”yang menjadi kekhuatiran saya adalah gejala isomorphic mimicry. Kita ingin kelihatan gah, justeru meniru yang lain, namun hakikat esensinya sifar. Adakalanya kita ingin mengikut apa yang menjadi amalan terbaik dari kerajaan dan industri lain (replicating processes, systems and best practices) yang membawa kepada kelihatan berkemampuan, tetapi hakikat sebenarnya adalah tidak (loss capable)”.
Hakikat sistem pendidikan tinggi kita terletak bukan pada peniruan tetapi pada pendekatan yang berinformasi, dipacu data terkini dan moden serta khusus kepada praktikal, kesesuaian dan kebijaksanaan. Ini melibatkan pertembungan idea, perbezaan pandangan dan membina keupayaan sebenar melalui inovasi yang menangani cabaran unik dalam landskap pendidikan tinggi negara. Untuk mengatasi risiko Isomorphic Mimicry budaya pemikiran kritis, inovatif dan penambahbaikan berterusan di dalam institusi pendidikan tinggi perlu terus didorong. Ini melibatkan usaha di semua peringkat organisasi dalam melaksanakan penambahbaikan dalam erti kata sebenar.
Peniruan proses atau amalan terbaik, seharusnya dilakukan dalam konteks penanda aras kepada pihak yang lebih baik atau cemerlang. Ia memerlukan persediaan sebelum, semasa dan selepas serta komitmen pasukan dalam melaksanakan penambahbaikan. Sektor awam sebenarnya sudah lama mempunyai panduan dalam melaksanakan penandaarasan melalui Garis Panduan Pelaksanaan Penandaarasan Dalam Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan sebagai Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 1999. Ironinya, masih ramai pemimpin sektor awam yang gagal membezakan antara lawatan penandaarasan dalam erti kata sebenar, dengan ”rombongan Che Kiah” yang datang beramai-ramai atas nama lawatan penandaarasan tetapi pulang dengan tangan dan minda yang kosong tanpa mematuhi langkah-langkah yang telah dijelaskan secara terperinci melalui PKPA tersebut. Sudah sampai masanya pemimpin organisasi, terutamanya dari KPT mengetuai usaha ini secara tuntas dan konsisten demi melaksanakan suatu penambahbaikan proses yang sebenar dan bukannya peniruan amalan tanpa pemahaman menyeluruh terhadap keperluan dan sebab khusus sesuatu proses. Ia perlu disesuaikan dengan morfologi organisasi seiring dengan bidang tujahan, perancangan masa hadapan dan keupayaan sumber sedia ada.
Sebagai kesimpulan, kebimbangan YB Menteri sepatutnya menjadi pemangkin perubahan dan peluang untuk menentukan semula hala tuju warga KPT secara keseluruhannya. Jangan biarkan warga kerja dan organisasi terpengaruh oleh ilusi keupayaan. Sebaliknya, fokuslah untuk membina sistem pendidikan tinggi yang menjadi bukti kepada kekuatan dan aspirasi unik agenda Malaysia MADANI yang menggapai ke langit tetapi juga harus mengakar ke bumi. Dengan berbuat demikian, usaha untuk mencapai kecemerlangan bukanlah sekadar pantulan pihak lain tetapi satu manifestasi sejati keupayaan, inovasi dan komitmen majoriti untuk membentuk masa depan yang lebih gemilang bagi Malaysia.
Penulisan Oleh:
Ts. Mohd Rafizi Rahmad CHRM, MMIHRM
Ketua Timbalan Pendaftar
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UiTM