Pada 29 Oktober 2024, delegasi Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI) UiTM yang diketuai oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), bersama Ts. Mohd Rafizi Rahmad dan Puan Nur Syazwani Ahamad Azahari telah melaksanakan lawatan ke Universitas Muslim Indonesia (UMI) di Makassar, Indonesia. Lawatan ini disambut dengan meriah oleh pihak UMI, dengan kehadiran Prof. Dr. Ir. H. Dirgahayu A. Lantara (Rektor), serta wakil-wakil rektor dan dekan-dekan fakultas, yang mencerminkan komitmen UMI terhadap kerjasama akademik serantau. Perbincangan produktif yang dijalankan menumpukan kepada strategi kolaborasi dalam pelbagai aspek, termasuk dana padanan, mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah, penganjuran konferensi bersama, penyeliaan pelajar pascasiswazah, serta program kesukarelawanan dan akademik bersama masyarakat. Kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menjalin kerjasama dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi, agrikultur dan pengajian Islam, membuka peluang yang luas bagi pembangunan penyelidikan dan akademik bersama. Dekan Fakulti Farmasi UMI menunjukkan minat yang mendalam untuk bekerjasama dengan AuRInS, memandangkan banyak bidang dalam Pusat Kecemerlangan (CoE) tersebut selari dengan fokus penyelidikan di UMI. Di samping itu, UMI melihat UiTM sebagai sumber rujukan dalam aspek penghasilan dan komersialisasi produk universiti. UMI turut mengalu-alukan kolaborasi dalam pertukaran pelajar dan pensyarah untuk memupuk perkongsian budaya yang kaya, memanfaatkan persamaan asal-usul antara kedua-dua negara. Lawatan ini memperkukuh jaringan kolaborasi strategik yang dijangka membawa manfaat besar kepada kedua-dua universiti. Susulan lawatan ini, Ts. Mohd Rafizi Rahmad akan mengatur perbincangan dalam talian bagi memperincikan pelaksanaan kerjasama strategik yang dirancang.
Disediakan oleh,
Puan Nur Syazwani Ahamad Azahari
Perangkawan Kanan, Unit Maklumat Strategik
Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)