24 Januari 2025 (Jumaat) | Ukhuwah@PI Siri 1/2025 Majlis bacaan Yasin dalam program Ukhuwah@PI Siri 1 tahun 2025 telah diadakan di Aras 3, Bangunan Wawasan, UiTM Shah Alam dengan pimpinan oleh Encik Shaqayyum Nuraiman Hadis, Pegawai Eksekutif, ReNeU dan dihadiri hampir 145 orang secara bersemuka dan atas talian.
Seusai bacaan Yasin, majlis diteruskan dengan sesi perkongsian daripada Ts. Dr. Irmaizatussyehdany Buniyamin, Timbalan Pegawai Penyelidik di IoS mengenai Projek Khas Naib Canselor (VCSP) P303: Administrative Staff International Job Shadowing yang telah dihadiri pada 24 November hingga 1 Disember 2024 bertempat di Edith Cowan University, Perth
Australia.
Ts. Mohd Rafizi Rahmad, Pengarah BPSSM dijemput untuk memberi ucapan selamat datang kepada lantikan baharu dan lantikan semula Pentadbir Akademik dan staf kontrak bagi bulan November 2024 dan Januari 2025.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah atas penganjuran latihan induksi di kalangan staf kontrak lantikan baharu melalui program Kickstart@PI. Program ini diadakan bagi memperkenalkan budaya organisasi serta membantu staf menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja dan tanggungjawab yang baharu. Seramai 21 orang staf kontrak lantikan tahun 2024 dan Januari 2025 terlibat bagi sesi latihan selama dua hari pada 13 hingga 14 Januari 2025 bertempat di Bilik Seminar dan Makmal Komputer di MITRANS, Bangunan Ilmu, UiTM Shah Alam.
Beliau turut memaklumkan program yang telah berlangsung dengan jayanya iaitu Santai Pengarah BPSSM bersama Staf Kontrak pada 20 Januari 2025 dan Perjumpaan Pengarah BPSSM bersama Ketua Pentadbiran pada 22 Januari 2025 di Bangunan Wawasan, UiTM Shah Alam.
Semoga jalinan ukhuwah antara warga JPI sentiasa erat dan membawa keberkahan serta kebaikan dalam setiap langkah.
Disediakan oleh:
Nur Ruzana Rosli / Haryani Hanip
BPSSM, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi