Institut Analitik Data Raya dan Kepintaran Buatan (Institute for Big Data Analytics and Artificial Intelligence, IBDAAI) telah menganjurkan Mesyuarat Strategik & Bengkel Penulisan Kertas Cadangan Penyelidikan pada hari Rabu, 05 Feb 2025. Program yang berlangsung di Hotel UiTM Shah Alam ini dihadiri oleh warga IBDAAI yang terdiri daripada Felo Tetap, Felo Bersekutu dan Staf Pentadbiran.
Program ini dimulakan dengan Laporan Tahunan IBDAAI 2024 oleh Pengarah IBDAAI, YBhg. Profesor Dr. Jasni Mohamad Zain, di mana prestasi penyelidik dan penyelidikan dibentangkan. Ruang untuk penambahbaikan telah dikenalpasti dan beberapa tindakan telah dibincangkan dan dicadangkan dalam perangkaan strategik bagi melonjakkan pencapaian IBDAAI pada tahun 2025.
Program disusuli dengan perbincangan berkaitan penulisan kertas cadangan penyelidikan yang diorak oleh Timbalan Pengarah IBDAAI, YBrs. Profesor Madya Dr. Marina Yusoff. Pelbagai cadangan diutarakan oleh felo-felo IBDAAI, dan beberapa geran telah dikenalpasti dan dipohon sewaktu bengkel tersebut. Geran-geran berpotensi ini merangkumi geran dalam dan luar negara.
Pihak Pengurusan Tertinggi IBDAAI ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua felo dan staf pentadbiran atas pencapaian tahun 2024, disamping penyertaan dan penganjuran program ini. Tidak dilupakan, sokongan padu yang diberikan oleh YBhg. Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan Jabatan Penyelidikan & Inovasi UiTM dalam menyemarak dan memperkasa penyelidikan di UiTM dan terutamannya di IBDAAI.
Diharapkan program seperti ini bermanfaat dan dapat menggarap semangat felo-felo IBDAAI dalam menjadi penyelidik yang lebih cakna dan beriltizam.
Disediakan oleh:
ChM Muhammad Hisyam Jamari
Research Officer
Institute for Big Data Analytics and Artificial Intelligence (IBDAAI)