Pada 25 – 26 Jan 2025 telah berlangsungnya satu Kursus Sijil Kompetensi Operasi Dron (SKOD) yang bertempat di Institut Kepimpinan dan Pembangunan UiTM (ILD), Bandar Enstek. Kursus ini dianjurkan oleh Smart Manufacturing Research Institute (SMRI), UiTM di bawah pimpinan pengarah program Prof Madya Ir. Ts. Dr Renga Rao Krishnamoorthy dengan kerjasama daripada Politeknik Port Dickson, Institut Latihan dan Perindustrian Prai, dan Aiyana Universe Solutions. Seramai sembilan orang peserta daripada pelbagai sektor industri telah menyertai kursus ini.
Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kompetensi peserta dalam mengendalikan dron secara profesional, termasuk aspek teknikal, keselamatan, dan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa penerbangan. Kursus ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan penggunaan teknologi dron dalam pelbagai sektor bagi meningkatkan produktiviti dan inovasi. Penilaian dijalankan melalui ujian teori dan praktikal, di mana semua peserta yang berjaya dan lulus dalam penilaian adalah layak menerima sijil kompetensi daripada Jabatan Tenaga Manusia di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Secara keseluruhannya kursus ini telah berjaya mencapai objektifnya bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal peserta, tetapi juga memupuk kesedaran tentang kepentingan keselamatan dan pematuhan kepada peraturan dalam pengendalian dron.
Disediakan oleh:
Idanawati binti Naharudin / Hajira binti Ramlan
Smart Manufacturing Research Institute (SMRI), UiTM