Pada 28 Oktober 2024, lawatan penandaarasan ke Universitas Hasanuddin (UNHAS) telah dijalankan oleh delegasi dari Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI) UiTM.
Delegasi ini disambut mesra oleh barisan pengurusan tertinggi UNHAS, termasuk Rektor Prof. Dr. Ir. Jamaluddin Jompa, Dr. Ansariadi (Director of Partnership), Prof. Dr. Risma Illa Maulany (Director of Education), Dr. Sahriyanti Saad (Director of Education Transformation and Learning Innovation) serta Encik Muhammad Ridwan (Secretary of International Office). Pertemuan diadakan di Bangunan Rektorat UNHAS, di mana kedua-dua pihak bertukar pandangan dan maklumat berkenaan strategi serta amalan terbaik dalam pelbagai aspek pengurusan universiti. Pada sebelah petang, delegasi JPI dibawa melawat Lembaga Penelitian dan Pengabdian kepada Masyarakat (LPPM). LPPM memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu masyarakat, terutama dalam bidang berkaitan STEM, melalui 24 Pusat Penelitian dan Pengembangan (Puslitbang) serta Pusat Penelitian dan Pengembangan lain yang khusus dalam bidang masing-masing, seperti Puslitbang Bioteknologi, Puslitbang Kependidikan dan Gender serta Pusat Studi Kebencanaan. Lawatan ini membuka peluang besar bagi kerjasama dalam bidang penyelidikan, memandangkan terdapat banyak persamaan antara bidang penyelidikan UiTM dan pusat-pusat di bawah LPPM. Keseluruhan lawatan disambut baik oleh pihak UNHAS, dengan Rektor dan Ketua LPPM melahirkan penghargaan terhadap kehadiran delegasi UiTM, yang diakui memiliki pencapaian yang lebih unggul. Lawatan ini telah mencetuskan banyak potensi kerjasama, kolaborasi dalam penyelidikan dan penulisan bersama, serta penganjuran konferensi serantau. Perbincangan susulan akan diatur secara dalam talian, oleh Ts. Mohd Rafizi Rahmad, untuk memperincikan kerjasama strategik antara kedua-dua universiti.
Disediakan oleh,
Puan Nur Syazwani Ahamad Azahari
Perangkawan Kanan, Unit Maklumat Strategik
Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)