RUMAH INI RUMAH KITA

RUMAH INI RUMAH KITA

    Selepas memperkenalkan tagline Pemangkin Idea pada tahun 2024 melalui platform Pembentangan Perancangan Strategik JPI, BPSSM sekali lagi tampil dengan inisiatif baharu pada tahun ini dengan memperkenalkan konsep Rumah JPI melalui platform yang sama. Ketua Timbalan Pendaftar (KTP) merangkap Pengarah BPSSM, telah menjelaskan secara terperinci metafora Rumah JPI di hadapan pengurusan kanan dan warga JPI yang hadir di Dewan Berlian, Bangunan Wawasan pada 19 Mac 2025. Konsep ini menekankan kerjasama, sinergi dan kebersamaan dalam kalangan warga JPI dengan laungan penuh semangat, "Rumah ini rumah kita!".

    Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UiTM bertindak sebagai bumbung yang memayungi keseluruhan struktur rumah, melambangkan autoriti utama yang memacu kecemerlangan penyelidikan dan inovasi universiti. Sebagai plaster syiling yang menghias rumah, tiga unit sokongan utama iaitu Unit Ketampakan & Komunikasi Penyelidikan (UKKP), Unit Maklumat Strategik (UMS) dan Unit Teknologi Maklumat (UICT) memainkan peranan penting dalam menyokong agenda penyelidikan dan inovasi secara holistik.

    Lima teras utama yang disifatkan sebagai tiang seri tegak berlima pula melambangkan pusat teras penyelidikan universiti: Research Nexus UiTM (ReNeU) memacu penyelidikan kolaboratif, Research Management Centre (RMC) mengurus dana dan pentadbiran penyelidikan, Business Innovation & Technology Commercialization Centre (BITCOM) menerajui pengkomersilan, harta intelek dan pemindahan teknologi, PENERBIT menyelia penerbitan akademik universiti, serta HiCoE/CoE (Higher Institution Centre of Excellence/Centre of Excellence) yang memacu penyelidikan berimpak tinggi.

    Bahagian Pentadbiran Strategik & Sumber Manusia (BPSSM) bertindak sebagai lantai yang menjadi asas rumah. Walaupun sebagai lantai, prinsipnya BPSSM bukan untuk dipijak-pijak, sebaliknya menjadi asas struktur Rumah JPI yang menyokong kesemua bahagian lain kerana penggerak JPI ialah bakat atau sumber manusia. Keseluruhan struktur ini menggambarkan komitmen UiTM dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan penyelidikan dan inovasi secara holistik dan bersepadu. Rumah ini rumah kita. Jaga rumah kita. Jika ada masalah, selesaikan dalam rumah kita. Jangan di bawa keluar, jangan dijaja keburukan hal ehwal dalam rumah kita. Dalam rumah ini, kita menjadi Pemangkin Idea!

 

Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad CHRM, MMIHRM
Ketua Timbalan Pendaftar (KTP) | Pengarah BPSSM
20 Mac 2025

Contact Us

Jabatan Penyelidikan & Inovasi
Aras 5,
Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin,
Universiti Teknologi MARA,
40450 Shah Alam,
SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA

 

Tel: 603- 5544 2004  
E-mail : jpi@uitm.edu.my
Hour: 
8.00am - 5.30pm