PUNCAK ALAM, 20 JANUARI 2025 – Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI) Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pejabat Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU) telah menganjurkan "Winning Proposal Writing Workshop for YPASM Grant 2025" bertempat di Bilik Seminar 1, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Selangor.
Bengkel Geran ini diadakan bagi meningkatkan kemahiran penyelidik UiTM dalam penulisan proposal penyelidikan bagi permohonan Geran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM). Peserta turut diberikan pendedahan tentang teknik penyelidikan berimpak tinggi yang relevan dengan bidang perubahan iklim dan kajian kutub.
Para peserta diberikan peluang untuk mendapatkan maklum balas tentang kekuatan dan kelemahan proposal masing-masing, serta memahami kaedah penyampaian idea yang lebih efektif dalam penulisan penyelidikan. Dengan pendekatan praktikal ini, peserta lebih yakin dalam memperkemaskan proposal mereka sebelum menghantar untuk penilaian geran.
Bengkel ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Health & Wellness, Profesor Madya Dr Akehsan Hj. Dahlan, mewakili Pengarah Neksus Penyelidikan UiTM. Penceramah jemputan adalah Profesor Madya Dr. Heo Chong Chin dari Fakulti Perubatan, UiTM Selangor.
Secara keseluruhan, Winning Proposal Writing Workshop for YPASM Grant 2025 di UiTM Cawangan Selangor berjaya memberikan impak positif kepada peserta dengan membimbing mereka dalam penyediaan proposal penyelidikan yang kompetitif. Program ini bukan sahaja meningkatkan peluang penyelidik untuk memperoleh Geran YPASM, tetapi juga menyumbang kepada pemerkasaan budaya penyelidikan dalam institusi. Dengan sambutan yang amat menggalakkan, diharapkan bengkel sebegini dapat diteruskan bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan penyelidikan di UiTM.
Disediakan oleh:
Dr Noor Azliyana Azizan
Koordinator Health & Wellness (HW)